OLEH DIANA ABD WAHAB
HULU SELANGOR, 14 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesyorkan supaya kempen pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak lagi menggunakan bahan fizikal seperti bendera atau kain rentang.
Sebaliknya, calon gabungan itu di Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan mencadangkan semua parti politik membuat perubahan dengan menumpukan kempen di media sosial.
Selain memelihara alam sekitar, beliau menegaskan kempen secara digital juga lebih relevan, menjimatkan wang dan tenaga jentera parti untuk memasang bendera.
“Saya tidak nafikan bendera penting untuk menambah kemeriahan pilihan raya. Apabila pasang bendera dan gegantung, rakyat tahu musim pilihan raya. Tetapi bukan pasang di semua tempat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/11/314361770_573644431431047_4708073147925033717_n-500x333.jpg)
“Saya nampak benda-benda ini (pasang bendera) boleh dibelanjakan untuk perkara lain. Boleh bantu rakyat memerlukan. Lebih membimbangkan pencemaran, saya tidak tahu berapa tan sampah akan dikumpul selepas 19 November,” katanya.
Dr Sathia yang ditemui di Bilik Gerakan Utama HARAPAN di sini pada 12 November menambah tempoh kempen yang berbaki kurang seminggu akan digunakan sepenuhnya untuk mendekati rakyat.
Biarpun faktor cuaca sedikit membataskan kempen, namun jelasnya, sebahagian besar kawasan itu sudah dilawati termasuk di Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu.
“Kita akan giatkan kempen di Batang Kali dengan bantuan semua komponen dalam HARAPAN. Kita gembira semua pihak beri komitmen penuh untuk pastikan kita dapat kekal di Hulu Selangor,” katanya.