Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang Rodziah Ismail disertai Hans Isaac dan penyokong di hadapan pusat penamaan calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang. pada 5 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hans: Kaji latar belakang calon, pilih pemimpin boleh buat kerja

AMPANG, 14 NOV: Pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac meminta pengundi di Parlimen Ampang mengkaji latar belakang setiap calon bertanding untuk memilih wakil rakyat kawasan itu pada 19 November.

Hans atau nama penuhnya Gerald Hans Isaac, 51, berkata pendekatan itu penting supaya mereka tidak keliru memilih calon sesuai menggalas amanah dan tanggungjawab rakyat.

“Inilah masa paling penting sekali, jadi saya minta undi orang yang boleh bekerja. Jangan undi hanya disebabkan gambar dia bersepah atau kita kenal nama itu,” katanya kelmarin.

“Seelok-eloknya fikir, buat kajian siapa calon-calon itu. Tetapi bagi saya calon tepat di Ampang ialah Rodziah Ismail, calon nombor satu Pakatan Harapan (HARAPAN).”

Sebahagian penduduk sekitar Flat 5 Tingkat Taman Cahaya, Ampang yang hadir mendengar ceramah sepetang bersama calon Pakatan Harapan (HARAPAN ), Rodziah Ismail pada kempen pilihan raya umum ke 15 (PRU15). pada 12 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Ditemui pada program santai anak muda HARAPAN di Taman Ukay Perdana di sini, Hans mengakui banyak isu dibangkitkan penduduk khususnya anak muda sepanjang membantu kempen calon HARAPAN.

Bagaimanapun, ahli majlis pimpinan pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu yakin Rodziah berupaya menangani isu pekerjaan, perumahan dan kos sara hidup serta membawa perubahan di Ampang.

“Sekarang semua orang mahu merayu undi tetapi apa yang akan berlaku selepas itu ? Selepas menang siapa akan jaga mereka? Kerja tengah susah, ekonomi teruk dan perumahan agak padat.

“Jadi benda-benda ini dia (Rodziah) akan cuba bantu. Dia pernah cakap, kalau dia menang jangan tinggalkan dia, (sebaliknya) kita bersama dia bangunkan Ampang,” katanya.

Rodziah berdepan Datuk Zuraida Kamarudin yang mempertahan kerusi tersebut sebagai calon Parti Bangsa Malaysia dalam saingan sembilan penjuru.

 


Pengarang :