Pemain Qatar kelihatan kecewa selepas kalah kepada Senegal 1-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan A Piala Dunia di Stadium Al-Thumama, Doha pada 25 November 2022. Foto Reuters
AGENDASUKANKINI

Piala Dunia di Qatar: Tuan rumah pasukan pertama tersingkir

DOHA, 26 NOV: Perlawanan Belanda dan Ecuador menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 dalam Kumpulan A Piala Dunia FIFA 2022.

Dengan keputusan itu bermakna tuan rumah Qatar menjadi pasukan pertama yang tersingkir daripada pentas saingan Piala Dunia.

Belanda mendahului saingan menerusi jaringan Cody Gakpo pada minit keenam sebelum Ecuador menyamakan kedudukan menerusi Enner Valencia, empat minit selepas perlawanan memasuki babak kedua.

Pasukan Belanda dan Ecuador berkongsi empat mata dalam Kumpulan A diikuti Senegal dengan tiga mata.

Pusingan terakhir untuk Kumpulan A yang adakan diadakan pada Selasa menyaksikan Ecuador bertemu Senegal manakala Belanda menentang tuan rumah Qatar.

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan B, pasukan England gagal memastikan kedudukan yang selesa manakala harapan Amerika Syarikat (AS) untuk melangkah ke peringkat seterusnya dilihat sukar, selepas kedua-dua pasukan hanya mampu seri tanpa jaringan dalam perlawanan pada Jumaat.

England yang dilihat lebih banyak menguasai bola tetapi sekadar berjaya membuat tiga hantaran tepat ke gawang lawan manakala AS hanya mencipta satu hantaran tepat, lapor Xinhua.

Keputusan perlawanan di stadium Al-Bayt itu mengekalkan England di tangga teratas kumpulan, satu mata di depan Iran dan AS di tempat ketiga dengan mengumpul 2 mata, setiap pasukan berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

— BERNAMA

 


Pengarang :