AGENDANASIONAL

Polis: Jangan guna media sosial ancam keselamatan, sentuh perkauman

SHAH ALAM, 21 NOV: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial bagi menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengundang kegusaran awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan.

Beliau menjelaskan amaran itu berkait keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu dan sepanjang tempoh pembentukan kerajaan yang sedang dimuktamadkan ketika ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berucap pada majlis perasmian Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru pada 25 Jun 2022. Foto BERNAMA

“Dalam tempoh pembentukan kerajaan, polis mengesan tindakan pengguna media sosial yang memuat naik kandungan menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan menghina institusi diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani menegaskan tindakan diambil mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan terhadap individu yang melakukan kesalahan itu.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pakatan Harapan (HARAPAN) memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30). Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

Siang tadi, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan proses pembentukan kerajaan baharu serta calon perdana menteri dilanjutkan sehingga 2 petang esok.

 


Pengarang :