Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan penduduk ketika sesi sembang santai di Taman Melawati pada 8 November 2022. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program khas untuk Gombak diumum esok, lengkapi 10 tawaran HARAPAN

GOMBAK, 9 NOV: Satu program khas untuk penduduk Gombak akan diumumkan esok sebagai tambahan kepada 10 tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dibentang sebelum ini.

Calon gabungan tersebut Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pihaknya konsisten menyampaikan mesej dan melaksana inisiatif di kawasan itu jika memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya akan gubal dan terangkan pada Khamis, satu program khusus untuk orang Gombak walaupun kita ada 10 tawaran HARAPAN,” katanya dalam program Kerusi Panas PRU15: Pertempuran Gombak di Astro Awani malam tadi.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Beliau mencabar penyandang tiga penggal kerusi itu Mohamed Azmin, yang kemudian mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Pada 2 November, Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 10 tawaran antaranya menangani kos sara hidup dan memerangi rasuah jika menang pilihan raya.

Aspek lain yang turut diberi keutamaan ialah peluang kerja, pendidikan, ekonomi dan kesihatan bagi mengatasi kepincangan dasar pemerintah sebelum ini.


Pengarang :