Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan susun atur projek mendalamkan sungai ketika majlis perasmian Projek Mendalam dan Melebarkan Tebatan Banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Projek tebatan banjir RM13.4 juta di tiga lembangan sungai utama tahun depan

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM13.4 juta membabitkan tiga lembangan sungai utama di negeri ini pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek itu melibatkan lembangan Sungai Klang menerusi peruntukan RM6.26 juta, Sungai Langat (RM5.67 juta) dan Sungai Selangor (RM1.52 juta).

“Agihan peruntukan mengikut lembangan sungai untuk memastikan keberkesanan dalam pengurusan tebatan banjir merangkumi pelaksanaan kajian, reka bentuk dan juga projek fizikal.

“Projek-projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutama di lembangan Sungai Klang dan Sungai Langat,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Selain itu, Amirudin memberitahu projek terlibat juga perlu dilakukan secara sinergi dengan projek-projek bawah peruntukan Persekutuan dalam menangani isu banjir di Selangor.

Pada 17 hingga 19 Disember tahun lalu, hujan lebat luar biasa berlaku lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini telah ditenggelami air.


Pengarang :