Keadaan kolam takungan banjir Bandar Puteri, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

JPS Selangor laksana projek RM45 juta atasi banjir

SHAH ALAM, 25 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan melaksanakan projek bagi mengatasi masalah banjir membabitkan kos RM45 juta, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, ia melibatkan Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated dengan kos RM15 juta, Kolam Takungan Banjir di Kampung Budiman (RM20 juta) dan Kolam Takungan Banjir di Lebuh raya Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja (RM10 juta).

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, beliau berkata Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) juga akan dibuat di Sabak Bernam menerusi peruntukan RM500,000 bagi menyediakan sistem saliran secara lebih bersepadu.

Amirudin juga menambah JPS Selangor juga memohon RM3.6 juta pada tahun depan bagi menaik taraf benteng pantai di Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Naik taraf ini dilakukan berikutan fenomena air pasang besar yang pernah berlaku sebelum ini dan menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai terutama di kawasan terjejas,” katanya.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Sabak Bernam antara lapan daerah yang dikenal pasti lokasi kerap banjir. Daerah lain ialah di Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.


Pengarang :