Oleh Shamz Johan
AMPANG, 14 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ampang menyifatkan rakyat adalah majikan manakala wakil rakyat adalah pemberi khidmat.
Rodziah Ismail berkata gaji wakil rakyat dibayar melalui cukai yang dipungut daripada rakyat bukannya untuk kepentingan pihak tertentu.
“Sebagai wakil rakyat, gaji saya dibayar daripada duit rakyat (cukai). Jadi saya insafi, rendah diri, maknanya mereka (rakyat) itu majikan sayalah,” katanya ketika bertemu penduduk di Flat 5 Tingkat Taman Cahaya, Ampang, semalam.
Beliau berkata setiap wakil rakyat perlu ada pemikiran untuk bersedia membantu rakyat dalam apa jua keadaan.
“Inilah pemikiran yang perlu dibetulkan, yang perlu dibawa semua wakil rakyat. Tapi dalam masa sama, kita perlu (buat) atas dasar hormat dan wajar kita buat bersama,” katanya.