Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Ampang Rodziah Ismail mengedarkan kad profil beliau kepada peniaga di pasar malam Bandar Baru Ampang, Ampang Jaya pada 8 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sokongan pengundi meningkat, Rodziah lebih semangat berkempen

AMPANG, 11 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Ampang mengakui lebih bermotivasi untuk berkempen berikutan sokongan penduduk terhadapnya yang semakin meningkat.

Lebih separuh kawasan dilawati sejak hari penamaan calon, Rodziah Ismail Ismail berkata dirinya kian dikenali sekali gus memudahkan usaha menyebar informasi dan manifesto gabungan itu.

“Tumpuan kempen hari ini (semalam) di kawasan Ampang Mewah. Saya naik Flat Taman Ampang Mewah selain menyantuni pengundi dari rumah ke rumah di Taman Mulia Jaya.

“Saya juga menyantuni peniaga dan pengunjung pasar malam Taman Ampang Mewah. Alhamdulillah saya melihat sokongan itu boleh meningkat, baik di kawasan kampung mahupun elit,” katanya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Ampang Rodziah Ismail mengedarkan kad profil kepada peniaga di pasar malam Bandar Baru Ampang, Ampang Jaya pada 8 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rodziah menambah jenteranya akan menyampaikan sebanyak mungkin maklumat yang telus dan tepat berkait HARAPAN serta inisiatif Kerajaan Selangor kepada penduduk.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu juga akan memperbaiki masalah komunikasi antara wakil setempat dan penduduk dari hari ke hari hingga selesai tempoh berkempen.

“Kalau golongan berpendidikan mungkin mereka sentiasa dengar informasi yang ada tetapi apabila turun di lapangan kita nampak kurang, macam ada terputus sedikit.

“Pimpinan masyarakat juga kadangkala tidak tahu program Kerajan Negeri, jadi dialog dengan masyarakat amat penting,” katanya yang dibantu sukarelawan Team Selangor untuk berkempen.

Rodziah berdepan bekas menteri dan juga penyandang kerusi itu Datuk Zuraida Kamarudin yang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam saingan sembilan penjuru.


Pengarang :