Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis mengenai persiapan aset untuk kegunaan banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 12 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Walau bercuti untuk kempen PRU, MB siap sedia tangani bah

GOMBAK, 8 NOV: Dato’ Menteri Besar memantau persediaan negeri menghadapi banjir dari semasa ke semasa walaupun bercuti daripada tugas rasmi kerana bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sentiasa berhubung dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim yang memangku tugas pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan turut dibantu exco lain.

Menurut calon HARAPAN Parlimen Gombak itu, jika keadaan memerlukan beliau akan membatalkan cuti untuk membantu melancarkan operasi pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Kita sentiasa berjaga-jaga dan buat persediaan pada tahap tertinggi, minggu kedua November, maksudnya dari sekarang kemungkinan ada gelombang besar taburan hujan,” katanya selepas menghadiri program anak muda Gombak bersama Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini, hari ini.

Bagi menghadapi risiko banjir, sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir diwarta.

Sebanyak 164 bot selain lori dan pacuan empat roda turut ditempatkan di semua daerah manakala 15,972 petugas dari pelbagai agensi bersiap sedia untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Selain Amirudin, turut bercuti sepanjang tempoh PRU15 ialah EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (calon Parlimen Ampang) dan EXCO Kerajaan Prihatin Ganabatirau Veraman (calon Parlimen Klang).

Keputusan itu dibuat bagi menjamin kebertanggungjawaban calon HARAPAN bermula 5 November sehingga hari mengundi pada 19 November.


Pengarang :