SHAH ALAM, 13 DIS: Seorang wanita melecur hampir seluruh badan akibat tong gas petroleum cecair (LPG) meletup ketika mahu memasak di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa, 26, yang bakal berkahwin dilaporkan ingin menggoreng ikan sebelum gas memasak berkenaan meletup dan memusnahkan rumah dua tingkat itu, lapor Berita Harian.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan memaklumkan sebuah kereta dan motosikal yang diparkir di halaman rumah itu turut rosak.
“Setiba di tempat kejadian, anggota mendapati seorang wanita mengalami kecederaan dan sudah dibawa keluar oleh jiran sebelum pasukan bomba sampai.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,” kata Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohamad Hazam Hassan.
Difahamkan, mangsa yang bakal berkahwin Januari depan mendiami rumah terbabit bersama adik lelaki serta isterinya.