Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil berucap ketika Kongres Nasional ke-16 Keadilan di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon menteri ditentukan parti, PM tidak campuri urusan kehakiman

SHAH ALAM, 3 DIS: Senarai calon menteri kerajaan perpaduan ditentukan parti atau gabungan masing-masing, kata Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat.

Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini menjelaskan pendekatan tersebut berbeza dengan tiga pentadbiran perdana menteri sebelum ini.

“Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan jemaah menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti.

“Perdana menteri dan ketua parti dan gabungan di dalam kerajaan perpaduan ini telah bersetuju bahawa senarai calon jemaah menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing,” katanya.

Beliau yang dilantik sebagai menteri komunikasi digital juga menegaskan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes.

Justeru, Fahmi mengingatkan Presiden Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menghenti polemik yang mengeruhkan keadaan sedia ada dan cuba mengelirukan rakyat.

“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melempar tohmahan kepada perdana menteri kerana bukan perdana menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain,” katanya.

Fahmi juga mengingatkan perdana menteri kelapan mengenai kontroversi isu 1BestariNet dan dana RM500 bilion yang didakwa dibelanja ketika pandemik sewaktu Muhyiddin menerajui negara.

Muhyiddin hari ini menganggap Anwar menggadai prinsip dan melabel pembentukan kabinet sebagai “paling mengecewakan dalam sejarah” berikutan ada individu yang berdepan pertuduhan di mahkamah turut dilantik.


Pengarang :