Oleh SHAMZ JOHAN
BUKIT GASING, 21 DIS: Program jualan murah barangan asas banyak membantu meringankan bebanan orang ramai dan peluang itu tidak dilepaskan Norhasmah Yaacob setiap kali ia diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.
Wanita berusia 40 tahun itu berkata beliau menghadiri kesemua empat program Jelajah Ehsan Rakyat dianjurkan di DUN berkenaan dengan mengikut jadual dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melalui Facebook.
“Saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan asas yang dijual murah dalam program ini.
“Faktor utama saya berkunjung ke sini adalah disebabkan lokasinya berhampiran dengan rumah dan mudah mendapatkan barangan diperlukan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Flat Gasing Indah di sini semalam.
Menurut peniaga makanan kecil-kecilan itu, akibat daripada kenaikan harga barang beliau dan keluarga turut terkesan.
“Bersyukur ada program seperti ini, banyak perbelanjaan dapat dijimatkan, selain itu dapat juga membantu meringankan beban kami,” katanya.
Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Kerajaan Negeri menerusi PKPS menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, telur gred B (RM10 sepapan) dan daging pejal segar (RM10 per pek).
Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), beras lima kilogram (RM10 sekampit) dan minyak masak lima kilogram (RM25 sebotol).
Inisitif jualan murah itu turut menawarkan barangan kering keluaran PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.
Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.
Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.