SHAH ALAM, 3 DIS: Lebih banyak program serta bantuan perniagaan ditawar tahun depan bagi melahirkan ramai usahawan sekali gus merancakkan ekonomi negeri.
EXCO pembangunan usahawan berkata antara program dilaksanakan ialah skim i-Sosial, diurus Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang memberi pinjaman sehingga RM10,000.
“Semua inisiatif ini bertujuan membantu usahawan terutama peniaga kecil dan sederhana serta mikro untuk mengembangkan produk mereka.
“Kita mahu jadikan Selangor sebagai negeri contoh selain terus menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi,” kata Rodziah Ismail ditemui selepas merasmikan Majlis Himpunan Usahawan Selangor sempena Karnival Usahawan Selangor 2022.
Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 25 November memperuntukkan RM4.2 juta bagi menggerakkan skim i-Sosial khusus kepada individu yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai aktiviti perniagaan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Hijrah turut melaksanakan penambahbaikan skim termasuk memperuntuk RM130 juta bagi membantu pembangunan usahawan.
Setakat ini, yayasan itu menawarkan beberapa skim antaranya Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes.