SHAH ALAM, 5 DIS : Sebanyak 14.6 juta dos vaksin Covid-19 diberikan kepada penduduk Selangor setakat 15 Oktober lepas dengan 4.3 juta membabitkan penerima dewasa, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin berkata sebanyak 519,617 dos vaksin diberi kepada remaja dan 320,909 lagi kepada kanak-kanak.
“Seramai 4 juta dewasa, 10,202 remaja dan 266 kanak-kanak selesai menerima satu dos penggalak. Manakala, seramai 155,076 dewasa dan 78 remaja selesai menerima dua dos penggalak,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status Covid-19 dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin menjelaskan secara purata kes Covid-19 yang didaftarkan di Selangor adalah sekitar 1,000 hingga 2,000 kes sehari bermula minggu epid 35 sehingga minggu epid 46.
“Mengikut kategori kes yang didaftarkan, majoriti 95 peratus adalah kes kategori dua manakala 4.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan semasa adalah kadar vaksinasi Covid-19 termasuk booster yang tinggi iaitu lebih 90 peratus daripada jumlah penduduk Selangor,” katanya lagi.