Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunarajah (tiga dari kiri) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada majlis sumbangan komputer riba kepada pelajar IPTA/IPTS B40 di Pusat Khidmat DUN Sentosa, Klang pada 22 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

Permohonan bantuan kembali ke sekolah MBI dilanjutkan hingga 31 Januari

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 23 DIS: Tempoh permohonan bantuan Kembali ke Sekolah bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dilanjutkan sehingga 31 Januari depan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI berkata ia bagi memberi peluang kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum melengkapkan senarai pemohon untuk melengkapkannya.

“Sepatutnya kita sudah tutup minggu lepas. Sebanyak 56 DUN sudah hantar permohonan tetapi ada yang tidak cukup 300 pemohon bagi setiap DUN seperti yang diperuntukkan.

“Ada DUN yang hantar 40 sahaja, jadi ia adalah kerugian bagi pihak DUN yang tidak cukupkan kuota 300 penerima,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan komputer riba kepada 16 pelajar B40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa semalam. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunarajah.

Ahmad Azri menjelaskan bagi DUN yang sudah lengkap menghantar senarai 300 pemohon namun ada yang ditolak MBI kerana tidak menepati kelayakan, mereka juga boleh menghantar nama lain untuk permohonan baharu.

Inisiatif tunai berjumlah RM100 diperuntukkan untuk bantuan Kembali ke Sekolah MBI kepada 300 penerima bagi setiap DUN.

Had pendapatan pemohon ditetapkan bawah RM4,000 untuk permohonan sesi persekolahan tahun depan berbanding RM2,500 sebelum ini.


Pengarang :