Pesawah melakukan penanaman padi secara tradisional ketika tinjauan di Kampung Parit Empat, Sekinchan pada 21 Julai 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pesawah di Pantai Timur terima bantuan khas Bernas mulai 16 Januari

SHAH ALAM, 31 DIS: Pesawah di Pahang, Kelantan dan Terengganu akan menerima bantuan khas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berjumlah RM10 juta selewat-lewatnya 16 Januari depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memaklumkan insentif itu bakal memanfaatkan seramai 20,598 pesawah dengan setiap orang menerima RM250.

“Bantuan khas Bernas sebanyak RM10 juta bagi tahun 2022 akan diberikan kepada tiga buah negeri di Pantai Timur terlebih dahulu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Manakala pesawah di negeri-negeri lain akan menerima apabila baki bantuan khas Bernas berjumlah RM50 juta disalurkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamad menjelaskan kementerian dan agensi di bawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri terbabit bagi memastikan proses penyaluran lancar.

Pada awal Disember lalu, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyediakan dana sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara.

 


Pengarang :