Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam menerima sambutan menggalakkan termasuk pada hari bekerja ketika tinjauan pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku negeri dapat sambutan, 160,000 pengunjung hadir dalam tempoh 6 hari

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 6 DIS: Seramai 160,000 pengunjung hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak dibuka pada 1 Disember hingga hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata acara yang berlangsung selama 11 hari itu menerima kehadiran orang ramai yang memuaskan meskipun pada hari bekerja.

Justeru Datin Paduka Mastura Muhamad yakin sasaran 300,000 pengunjung ke SIBF mampu dicapai kerana acara tersebut masih berbaki lima hari.

“Walaupun hari bekerja, kehadiran tetap memuaskan. Hari ini saja, 24 buah bas membawa pelajar-pelajar tiba sejak pagi,” katanya ketika ditemui Selangorkini di SIBF.

Beliau berkata pelbagai acara menarik turut disediakan untuk pengunjung sesuai bagi semua peringkat umur.

“Kita ada aktiviti cabutan bertuah, seminar pustakawan, sesi bedah buku turut dibuat di reruai yang mengambil bahagian. Selain itu, radio IKIM turut bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen MBSA.

“Pada masa sama saya mengharapkan kesemua 56 ahli dewan negeri (ADN) dapat memberi sokongan dapat hadir ke SIBF untuk beri sokongan serta mengajak masyarakat sama-sama hadir,” katanya.

SIBF anjuran Kerajaan Negeri dengan PPAS sebagai urusetia julung kali diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti menarik melibatkan pelajar dan kanak-kanak turut diadakan selain jualan pelbagai jenis makanan dan barangan.

Pelbagai acara disediakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 6 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :