Petugas kesihatan memeriksa tekanan darah sebelum memberi suntikan vaksin pneumokokal dan influenza kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Vaksin pneumokokal, influenza percuma di DUN Bukit Gasing Sabtu ini

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 13 DIS: Warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing berpeluang mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal dan influenza secara percuma pada 17 Disember ini.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata sebanyak 250 dos vaksin pneumokokal dan 250 dos vaksin influenza disediakan untuk program bertempat di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jalan 51A/227, mulai 10 pagi hingga 2 petang.

“Dalam bajet tahun ini, kerajaan Selangor mengutamakan penjagaan kesihatan dan memberi tumpuan kepada vaksinasi pneumokokal dan influenza yang menyasarkan warga emas kerana mereka adalah kumpulan paling terdedah untuk terjejas.

“Sila bawa bersama kad pengenalan anda untuk menentukan layak menerima vaksin,” katanya di Facebook.

Menurut Rajiv pemeriksaan kesihatan ringkas oleh doktor akan turut diadakan sebelum seseorang warga emas itu layak untuk menerima vaksinasi.

“Pastikan anda telus kepada pengamal penjagaan kesihatan yang menemu bual anda,” katanya.

Pada 10 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana RM1.5 juta dalam menyediakan 10,000 dos vaksin percuma (5,000 dos vaksin pneumokokal, 5,000 dos vaksin influenza) bagi memastikan kesihatan penduduk berisiko tinggi terpelihara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fasa pertama program yang bermula pada 13 November sehingga 31 Disember ini menyasarkan seramai 5,000 individu terdiri warga emas, 60 tahun ke bawah dan golongan berisiko dijangkiti penyakit.


Pengarang :