Salah seorang mangsa yang terkorban dibawa keluar dari lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

157 petugas salur maklumat insiden Batang Kali terima sijil penghargaan

PUTRAJAYA, 31 JAN: Seramai 157 petugas dari jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerima sijil penghargaan atas komitmen dan sumbangan mereka dalam menyalurkan maklumat terkini dan sahih kepada masyarakat, mengenai insiden tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Dis tahun lepas.

Antara yang terlibat ialah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Jabatan Penyiaran Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi.

Sijil tersebut disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada majlis perhimpunan bulanan KKD yang berlangsung di kementerian itu di sini hari ini.

Jurugambar Bernama Muhammad Izzuddin Abd Razak, merasai begitu dihargai melalui penanugerahan sijil berkenaan, yang menjadi pemangkin semangat untuk dirinya melaksanakan tugasan di lapangan dengan lebih baik.

“Memang saya rasa dihargai kerana kami (jurugambar) petugas di belakang tabir ketika melakukan tugasan di lokasi nahas. Tugasan mencabar dan berisiko, tetapi saya lakukan untuk orang ramai dapat gambaran kejadian tanah runtuh itu,” katanya.

Bagi Zulfadhli Zulkifli pula, setiap gambar yang diambil di lokasi kejadian dilaksanakan dengan teliti, bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.

“Gambar yang kami siarkan memang yang menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa, itu perkara yang telah diajarkan kepada semua jurugambar Bernama,” katanya yang teruja menerima sijil penghargaan daripada KKD.

Wartawan meja jenayah Bernama Muhammad Afiq Mohd Asri berkata penghargaan sedemikian, menghilangkan segala penat lelah yang dilalui pengamal media selama 10 hari.

“Walaupun terpaksa bersidai tidak kira panas atau hujan, pengamal media bersemangat berkhidmat untuk mendapatkan maklumat penting dan berita yang tepat untuk disalurkan kepada masyarakat. Penghargaan oleh Menteri dan KKD itu akan menjadi pembakar semangat untuk terus menyalurkan berita-berita sahih,” katanya.

Wartawan penyiaran RTM Nursyamimi Syahira Saripan pula berkata pemberian sijil oleh KKD itu merupakan satu bentuk penghargaan kepada mereka untuk terus berjuang dalam memainkan peranan membawa berita dan maklumat yang tepat dan sahih.

Pegawai Perhubungan Awam JaPen Selangor, Nurul Wardina Abdullah berterima kasih atas penghargaan yang diberikan.

“Tugas JaPen ialah pemudah cara kepada media untuk mendapatkan informasi yang tepat dan betul. Sebulan lebih lepas insiden itu JaPen dipanggil hari ini dan gembira jumpa semula rakan-rakan yang bertugas di lapangan,” katanya.

Seramai 92 mangsa terlibat dalam kejadian pada 16 Dis lepas, dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :