PBTSELANGOR

MBSJ rekod 611 kes demam denggi dalam tempoh seminggu

SUBANG JAYA, 31 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekod 611 kes demam denggi dalam tempoh seminggu sejak 22 Januari lalu.

Timbalan Datuk Bandar berkata kes di Subang Jaya meningkat berbanding 556 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Mohd Zulkurnain Che Ali, semua kes membabitkan 10 lokaliti titik panas wabak yang dikenal pasti.

“Lokaliti titik panas yang paling banyak mencatatkan kes demam denggi adalah di Desa Minium Rimba, Lestari Perdana dengan 30 kes dalam tempoh 66 hari dan di USJ 9/5 sebanyak 30 kes dalam tempoh 49 hari,” katanya dalam mesyuarat bulanan MBSJ hari ini.

Mohd Zulkurnain menasihatkan masyarakat untuk terus menjaga kebersihan persekitaran premis dan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes.

“Masyarakat juga dinasihatkan membuat semburan aerosol dalam premis dan guna repellan apabila keluar terutama mereka yang tinggal di kawasan wabak denggi,” katanya.


Pengarang :