BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Ekonomi kukuh bela rakyat, Selangor makmur tanpa politik kebencian

Berikut perutusan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempenan Tahun Baharu 2023

Tahun 2022 baru sahaja melabuhkan tirainya. Ia merupakan suatu tempoh bersejarah yang sarat dengan pelbagai tauladan dan pedoman.

Negeri Selangor pada tahun 2022 telah mencatat pelbagai kejayaan dan pencapaian tersendiri. Kerajaan Negeri telah mencatat jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh 6 tahun. Ini merupakan suatu bukti betapa kekuatan ekonomi Negeri Selangor kekal kukuh dan mampan serta dibantu komitmen juga
dasar Kerajaan Negeri yang stabil dan mesra perniagaan.

Tahun 2022 juga menyaksikan pembentangan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang merupakan rancangan pembangunan lima tahun pertama di Selangor. Pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2022 terus mencatat peningkatan dan mengatasi kadar pertumbuhan nasional. Negeri Selangor turut mencatatkan
sumbangan 24.8% kepada KDNK Malaysia, jumlah tertinggi setakat ini.

Menerusi Pembentangan Belanjawan Selangor 2023 pula, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyediakan satu pelan ekonomi yang komprehensif sebagai persediaan menghadapi jangkaan kemelesetan ekonomi dunia tahun hadapan. Pelbagai aspek diambil kira terutama penambahan peruntukan bagi Baucar Jom Shopping, Baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE), peningkatan elaun Ketua Kampung Tradisi, Kg Baru Bagan dan Ketua Komuniti India, penambahan elaun Guru KAFA serta tambahan caruman Ibu Tunggal melalui Skim i-Suri KWSP. Kesemua ini adalah langkah-langkah yang diambil bagi memastikan rakyat Selangor dapat bersedia menghadapi jangkaan kemelesetan ekonomi pada tahun 2023.

Tahun 2022 juga selamanya akan terpahat dalam sejarah dengan menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan dipimpin YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10 setelah Pilihanraya Umum ke 15. Kerajaan Perpaduan ini dibentuk hasil permuafakatan politik dalam memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan dan kemakmuran ekonomi Malaysia tercapai. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat Negeri Selangor dan seterusnya dapat mengukuhkan lagi kedudukan Selangor selaku ‘the economic heartbeat of Malaysia’.

Sudah tentu 2022 tidak hanya mencatat kejayaan dan kegembiraan. Kita turut menerima berita duka pada awal 2022 apabila banjir besar yang berlaku Disember 2021 terus berlarutan hingga Januari 2022. Kerajaan Negeri telah mengambil iktibar apa yang berlaku dan melaksanakan simulasi banjir pada September 2022 sebagai langkah persediaan semua agensi.

Episod tragedi tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini amat menyayat hati dan memilukan. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga 31 mangsa korban tragedi ini. Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat di Batang Kali.

Tentu sekali tahun 2023 dijangka tidak kurang cabaran dan ujian yang bakal mendatang. Ancaman konflik Russia – Ukraine serta pandemik COVID-19 yang masih segar adalah antara ancaman yang masih ada.

Ketidaktentuan serta jangkaan kemelesetan ekonomi pada 2023 turut memberi prospek yang kelam kepada kita semua. Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dengan segala macam kemungkinan. Keutamaan pentadbiran ini tentunya meneruskan dasar dan kebijakan yang akan meningkatkan daya tahan (resilience) ekonomi negeri. Usaha ke arah memastikan jaminan bekalan makanan (food security), pendidikan, keselamatan siber dan kesihatan awam tetap menjadi perhatian Kerajaan Negeri pada masa yang sama.

Pilihanraya Negeri Selangor yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 semestinya menjadi topik yang tak terelakkan. Sebagai tunjang Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor, adalah diharapkan rakyat Selangor dapat memberikan mandat kepada HARAPAN untuk meneruskan kecemerlangan dan kejayaan di bumi Darul Ehsan. Sejak 2018, prestasi Pakatan Harapan telah terbukti dalam mengekalkan kedudukan Selangor sebagai pasak dan tiang seri negara. Selain itu, Kerajaan Negeri yang ditunjangi Pakatan Harapan di Selangor telah menunjukkan contoh ataupun ‘leading the way’ dalam pengurusan pandemik COVID-19 berdasarkan fakta dan sains dan meneruskan agenda ‘Selangor Penyayang’ menerusi 48 program dan iltizam bagi kebajikan rakyat.

Sudah tentu HARAPAN tidak sempurna dan mempunyai kelemahan. Namun berbekalkan iltizam dan tekad bagi membangun sebuah negeri yang makmur, rencam dan sentosa, HARAPAN telah menunjukkan ‘political willingness’ untuk mentadbir negeri ini dengan stabil dan berintegriti. Kerencaman masyarakat di Selangor yang unik ini memerlukan satu pentadbiran yang peka dan prihatin kepada keperluan rakyat sekaligus tidak mengamalkan ekstremisme.

Kita telah melihat bagaimana beberapa platform media sosial dicemari agenda ekstremisme bagi mendapatkan sokongan ketika PRU-15 lalu. Ekstremisme dan politik kebencian ini tidak ada tempat di bumi Selangor Darul Ehsan ini. Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan fabrik sosial di Selangor ini tidak musnah dan hancur akibat politik ekstremisme kerana Selangor adalah cerminan kepada keadaan sosial di Malaysia.

Justeru, menjadi satu kewajipan untuk kita sebagai rakyat Negeri Selangor memelihara keharmonian, kesepaduan dan perpaduan yang dinikmati kini. Berbekalkan semangat #KitaSelangor, kita semua dapat hidup dengan rukun dan tenteram, menikmati hasil negeri serta berlandaskan keluhuran Perlembagaan.
Inilah yang diperkatakan Allah SWT berkenaan Kerajaan Ratu Balqis yang mafhumnya: “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ 34 : 15)

Selamat Tahun Baru 2023 saya ucapkan kepada seluruh rakyat Negeri Selangor. Semoga tahun 2023 ini melakar kejayaan serta membawa kemakmuran buat kita semua.


Pengarang :