Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 23 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni 100 keluarga asnaf di daerah Klang, Sabtu lalu dengan menyemak dan mengemas kini maklumat mereka.
Agensi itu memaklumkan inisiatif itu bertujuan agar bantuan zakat yang diagihkan sentiasa tepat dengan merujuk maklumat dan keperluan terkini golongan sasar di kariah Kapar, Klang.
“Program merupakan kolaborasi di antara LZS Daerah Klang, Jawatankuasa Masjid Kampung Sungai Serdang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Serdang.
“Melalui program ini juga asnaf turut membuat kemas kini maklumat berkaitan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diuruskan melalui kaunter MPKK,” katanya menerusi Facebook.
LZS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.