SHAH ALAM, 6 FEB: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menafikan penglibatan dan penggunaan nama agensi itu dan nama ketua pegawai eksekutifnya dalam mana-mana skim pelaburan haram.
Invest Selangor menjelaskan pihaknya dimaklumkan mengenai penggunaan nama dalam beberapa akaun Telegram palsu dan saluran media sosial yang lain.
“Sama ada Invest Selangor mahupun mana-mana anak syarikat kami tidak terlibat atau dikaitkan dalam apa jua cara dengan mana-mana akaun,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, Invest Selangor menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan skim kewangan haram.
“Penipuan menggunakan nama, nama pegawai kanan dan Invest Selangor dalam skim haram atau aktiviti penipuan bertujuan untuk mengelirukan orang ramai,” katanya.