EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim melihat pelan projek ketika melawat tapak pembinaan jejambat Bandar Saujana Putra di Persiaran Saujana Putra pada 2 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jejambat atasi isu trafik sesak Bandar Saujana Putra dijangka siap Disember

KUALA LANGAT, 2 FEB: Pembinaan jejambat bagi mengatasi kesesakan trafik di Bandar Saujana Putra dijangka siap Disember tahun ini membabitkan kos keseluruhan RM65 juta, kata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim.

Beliau berkata pembinaan jejambat sepanjang 815 meter menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) yang tergendala sebelum ini, dimulakan semula selepas isu berkaitan pengalihan utiliti di bawah permukaan jalan raya dan kerjasama dengan pihak lebuh raya selesai.

“Sebelum ini ia tergendala akibat pandemik selama dua tahun selain itu isu alihan utiliti dan isu kerjasama dengan pihak lebuh raya. Ia sudah selesai dan kerja mula dibuat.

“Keadaan ini agak unik, belum pernah lagi keadaan dua lebuh raya berdekatan dan bersambung begini tentulah ada komplikasi daripada segi isu berkaitan ditambah pula dengan kabel dan utiliti yang banyak di bawah permukaan jalan perlu dialihkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan jejambat Bandar Saujana Putra di sini, hari ini.

Izham berkata pihaknya sebelum ini sentiasa memantau perkembangan projek berkenaan menerusi laporan bulanan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan membuat pemantauan lebih kerap selepas ini.

“Dengan siapnya jejambat itu dijangka pada Disember tahun ini ia akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan ini,” katanya.

Pada 12 April 2019 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk membina jejambat baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut.

Projek itu bakal memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna SKVE dan ELITE, dari arah Bandar Saujana Putra.


Pengarang :