DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama pemenang dan peserta program `SAY ASPIRE di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 20 usahawan mohon sertai SAY ASPIRE, peluang jalani kursus eksport selama sebulan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 5 FEB: Lebih 20 pengiat industri mikro, kecil dan sederhana (IMKS) berorentasikan eksport memohon untuk menyertai program pembangunan usahawan anjuran Selangor Youth Community (SAY) setakat semalam.

Pengurus Projek SAY ASPIRE Abdullah Muaz Mohd Norman berkata seramai 40 usahawan disasar menyertai program berkenaan tahun ini dan mengalu-alukan penyertaan sebelum tarikh permohonan ditutup pada 12 Februari.

Menurut Muaz, semua usahawan yang memohon perlu menjalani temuduga pada 16 Februari dan mereka yang lulus akan menyertai lkursus eksport selama sebulan.

“Mereka kemudian perlu menghantar pelan eksport perniagaan untuk pemilihan akhir dan 10 usahawan terbaik akan membuat pembentangan di hadapan Duli Yang teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Pemenang akan mendapat geran eksport daripada Kerajaan Negeri,’’ jelasnya ketika dihubungi.

Usahawan yang berminat boleh melayari laman web www.entrepreneurshipselangor.com.my/sayaspire untuk memohon.

Antara kriteria penyertaan ialah syarikat hendaklah beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur 18 hingga 40 tahun dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.

Program pembangunan usahawan dengan kerjasama EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bertujuan membantu belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Dianjurkan sejak 2018, SAY ASPIRE yang diasaskan Raja Muda Selangor merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Pada edisi ketiga tahun lalu, tiga syarikat dipilih sebagai pemenang iaitu Airaz Technologies Sdn Bhd (produk pakaian sukan muslim), Avantcom International Sdn Bhd (produk penjagaan kulit bayi) dan Inonity Sdn Bhd (perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp).

Poster pencarian usahawan untuk program SAY ASPIRE edisi keempat yang dijangka bermula pada Mac depan. Foto Facebook Selangor Youth Community – SAY Community

 


Pengarang :