Sebahagian daripada peserta Bengkel Penterjemahan Ihya Ulumuddin anjuran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sedang berbincang. Bengkel selama tiga hari sejak 3 Februari 2023 berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya. Foto Facebook Inisiatif Buku Darul Ehsan
AGENSISELANGOR

IBDE anjur bengkel penterjemahan, persediaan terbit 20 siri kitab karangan Imam al-Ghazali

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 5 FEB: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menganjurkan bengkel penterjemahan Ihya Ulumuddin selama dua hari sejak 3 Februari di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Ketua Pengarangnya Al Mustaqeem Mahmod Radhi berkata bengkel yang disertai beberapa panel penilai merupakan persediaan pihaknya sebelum memulakan kerja penterjemahan karya agung Imam al-Ghazali.

“Dua panel penilai Ihya yang menyertai bengkel memberi nasihat mengenai istilah yang perlu diberi perhatian selain penyeragaman tulisan.

“Mereka ialah Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Prof Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman dan Pensyarah Pusat Bahasa dan Pengajian Asas Universiti Sultan Azlan Shah Azmi Ahmad,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut menyertai bengkel, Mohamad Hilmi Marjunit dan Zahid M Naser selaku penterjemah dan kakitangan IBDE

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya termasuk kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali mulai tahun ini.

Kitab karangan ulama tersohor itu bakal diterbitkan dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Terjemahan juga meliputi antaranya Kimya al-Saadah karya Abu Hamid al-Ghazali dan Masalih al-Anfus (Abu Zayd al-Balkhi), Risalat Zam al-Lazzati ad-Dunya (Fakhruddin al-Razi), Saidina Umar al-Faruq (Abbas Mahmoud al-Aqqad).


Pengarang :