Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian persempelan susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan Logi Rawatan Air Rantau Panjang, Bestari Jaya pada 11 Februari 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONALSELANGOR

LUAS kesan bau seakan diesel, giat atasi pencemaran

SHAH ALAM, 12 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meningkatkan tindakan kawalan bagi mengatasi masalah pencemaran susulan penemuan bau seakan diesel di kawasan muka sauk Logi Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang malam tadi.

Agensi itu memaklumkan tindakan itu diambil bagi mengenal pasti punca dan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan susulan bau minyak dikesan di kawasan tersebut pada jam 9.45 malam tadi.

“Tindakan kawalan di kawasan muka sauk keempat-empat LRA terlibat iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dipertingkatkan.

“Pengepaman air daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH diaktifkan bermula pada jam 10 malam serta pintu baraj di muka sauk LRA juga diturunkan bagi meningkatkan pencairan dan membolehkan aliran pencemaran mengalir dengan segera,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan henti tugas sementara empat LRA terlibat iaitu LRA Rantau Panjang, LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3.

“Berikutan itu, lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling bagi 370 kawasan, Gombak (279), Hulu Selangor (28), Klang dan Shah Alam (189), Kuala Langat (tiga), Kuala Lumpur (186) serta Kuala Selangor (280) dijangka terlibat susulan insiden tersebut,” katanya.

Menurut Air Selangor, pihaknya akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu dan pengguna disaran merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.


Pengarang :