Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halim beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina DUN Kota Anggerik di Dewan SJK(C) Pin Hwa 1, Persiaran Setia Murni, Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam pada 11 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 1,000 hadir sambutan Tahun Baharu Cina DUN Kota Anggerik

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 12 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 masyarakat berbilang bangsa.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata program terbabit menzahirkan konsep Malaysia Madani yang menjadi aspirasi pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Mungkin dari segi politik ada yang cuba sentuh senstiviti kaum dan cetuskan perbalahan namun hakikatnya di bawah ini kita boleh hidup secara harmoni dan rai kepelbagaian.

“Sebagai pemimpin yang cakna dengan kepelbagaian ini kita raikan semua perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dan Deepavali bukan hanya raikan Aidilfitri.

“Walaupun jumlah masyarakat Cina tidak ramai di DUN Kota Anggerik, setiap tahun kita memang anjurkan sambutan bagi merapatkan ukhuwah selain mengekalkan keharmonian kaum dan sebagai tanda hargai mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina DUN Kota Anggerik di Dewan SJK(C) Pin Hwa 1, Persiaran Setia Murni, Setia Alam, Seksyen U13, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program antaranya edaran angpau, persembahan tarian singa yang menjadi simbol kebudayaan masyarakat Tionghoa, menggaul ‘yee sang’ dan persembahan kebudayaan masyarakat Cina.


Pengarang :