SHAH ALAM, 1 FEB: Dato’ Menteri Besar menerima kunjungan hormat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Berlangsung hampir sejam, pertemuan bersama Dato’ Seri Amirudin Shari di Pejabat Menteri Besar turut dihadiri wakil Jabatan Pendidikan Selangor.
Amirudin berkata kunjungan itu bagi memperkukuh hubungan dengan Kementerian Pendidikan selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai program kendalian negeri.
“Kita berbincang bagaimana mahu kukuhkan beberapa program berkaitan pendidikan kelolaan negeri seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor dan Bitara Yayasan Selangor.
“Saya juga mengutarakan beberapa rungutan seperti keperluan membina sekolah di kawasan kepadatan tinggi dan permohonan untuk baik pulih infrastruktur sekolah,” katanya ketika ditemui.
Amirudin juga berharap setiap perbincangan dapat dibawa ke peringkat Persekutuan, terutamanya menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.