Pusat Anaerobic Digester Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Jalan Kerja Air Lama, Ampang Jaya. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

Peniaga medan selera dipelawa manfaat pusat urai sisa makanan MPAJ

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 1 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mempelawa pemilik restoran dan peniaga medan selera membuang sisa makanan di pusat Anaerobic Digester (AD).

Yang Dipertuanya berkata pusat AD berkenaan terletak bersebelahan laman selera baharu MPAJ di Jalan Kerja Air Lama di sini.

“Buat masa ini pemilik restoran tidak perlu ke pusat tersebut untuk membuang sisa makanan.

“Hanya perlu hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ di talian 03-4285 7221 dan akan dikutip secara percuma pada keesokkan harinya,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau menjelaskan sisa makanan yang diproses mesin AD akan menjadi baja kompos dan gas yang bertepatan dengan misi MPAJ ke arah bandar rendah karbon.

“Mesin ini boleh memproses 500 kilogram sisa makanan dalam tempoh 30 minit setiap hari.

“Buat masa ini mesin ini hanya memproses kira-kira 200 kilogram sisa makanan sehari hasil kutipan dari laman selera dan hotel berdekatan,” jelasnya.


Pengarang :