Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lebih 10,000 hadir pameran bangun semula Stadium Shah Alam, ramai setuju reka bentuk awal

SHAH ALAM, 10 FEB: Sesi libat urus pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk stadium negeri yang berakhir hari ini berjaya menghimpunkan lebih 10,000 orang awam.

Dato’ Menteri Besar berkata kehadiran orang ramai ke ruang pameran di pusat beli-belah SACC Mall di sini, sejak 26 Januari membuktikan minat mereka terhadap pelaksanaan projek terbabit.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan lebih 95 peratus daripada jumlah itu memberi maklum balas positif dan bersetuju dengan reka bentuk awal kompleks sukan berkenaan.

“Pameran ini mendapat ribuan kehadiran secara fizikal sekitar 1,000 hingga 2,000 orang pada satu-satu masa kerana kebetulan ada majlis pengenalan jersi Selangor FC.

“Malah ia ditonton lebih 1.2 juta orang awam secara dalam talian. Maknanya nisbah itu besar dan bukti minat orang awam (terhadap pembangunan semula KSSA) sangat tinggi,” katanya.

Ditemui selepas meninjau ruang pameran hari ini, beliau berkata pihaknya turut menerima banyak cadangan daripada orang ramai dan akan diperhalusi sebaiknya.

“Kita kena tengok laporan terperinci tetapi sudah pasti banyak perkara yang dicadangkan. Sebahagiannya mungkin ada cuma komponennya diubah-ubah.

“Contohnya tempat sukan ekstrem dan tapak pasar pagi kita ada. Kita akan tengok kesesuaian berdasarkan cadangan daripada pihak yang hadir,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan berbincang bagi proses kebenaran merancang selain rundingan pertukaran tanah bersama pemaju Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

“Projek ini masih dalam jadual, diharap suku pertama tahun ini kita akan mula pecah tanah dan pembangunan boleh berlaku secepat mungkin sampai 2026.

“Pengoperasian Transit Aliran Ringan (LRT) dijangka pada 2024 pula akan memberi impak yang baik kepada kawasan pembinaan semula KSSA,” katanya.

Pameran awam pembangunan semula KSSA anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi peluang orang awam menilai pembinaan projek seluas 76.08 hektar itu.


Pengarang :