Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan perasmian Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani 2023 di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, Kelantan pada 18 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Elak huru-hara, perarakan replika senjata tajam boleh undang tema perang

SHAH ALAM, 20 FEB: Kementerian Dalam Negeri memberi amaran terhadap mana-mana pihak supaya menghentikan apa jua perbuatan yang boleh menimbulkan huru-hara termasuk perarakan replika bersenjata tajam.

Menegaskan tindakan boleh diambil terhadap penganjur yang menyelitkan elemen mengancam keharmonian masyarakat, Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata rakaman acara itu boleh bermaksud menyuntik semangat perang.

“Maka sudah tentu apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘military’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.

“Insiden ini kemungkinan disiar dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, polis Terengganu berkata pihaknya menjalankan siasatan berhubung tindakan sekumpulan pemuda daripada sebuah parti politik yang berarak dengan berpakaian perang lengkap bersenjata.

Menurut ketua polisnya, kejadian itu berlaku pada 17 Februari lepas dalam satu program perhimpunan di sebuah kawasan resort di Setiu.

Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dalam perarakan itu dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.


Pengarang :