PBTSELANGOR

MPAJ kutip hampir RM480,000 caj beg plastik tahun lalu

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 1 FEB: Sebanyak RM477,868.32 caj beg plastik dikutip Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kutipan tersebut hasil serahan 948 daripada 8,861 premis yang berdaftar dengan program kutipan caj beg plastik 20 sen.

“Sebanyak 60 peratus daripada hasil tersebut akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri iaitu RM286,720.99 manakala 40 peratus lagi (RM191,147.33) akan dimasukkan ke dalam akaun amanah pihak majlis,” katanya dalam mesyuarat penuh MPAJ semalam.

Jelas beliau, sebanyak RM6.027 juta dikutip bagi pembaharuan lesen 11,397 premis perniagaan tahun ini yang bermula 1 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu.

Mohd Fauzi menambah RM503,145.64 pula dikutip daripada 3,059 penjaja yang memperbaharui permit penjaja.

“Sehingga 26 Januari tahun ini jumlah kutipan denda daripada premis yang lewat memperbaharui lesen adalah RM520,779 merangkumi 558 premis manakala RM207,865.42 pula dikutip daripada 350 penjaja. Jumlah keseluruhan adalah RM728,644.42,” katanya.

Mohd Fauzi menjelaskan MPAJ juga menerima kutipan RM19,982 daripada penjaja sementara dan RM5,840 untuk permit bunga api semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Bagi kutipan tempat letak kereta untuk tempoh 1 hingga 26 Januari ini sebanyak RM619,092.80 dikutip dengan RM256,461 daripadanya adalah kutipan untuk sewaan petak khas,” katanya.


Pengarang :