Pengunjung Roshidah Isa, 48, (kanan) dan Sofia Azira Abdullah, 37, menunjukkan barangan yang dibeli mereka di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di Masjid Al Bakri Bukit Naga, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk tidak sabar menunggu program jualan murah di kawasan masing-masing

SHAH ALAM, 7 FEB: Seawal 7.30 pagi lagi lebih 200 pengunjung sudah beratur untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, hari ini.

Pegawai Khas kepada wakil rakyat Sungai Kandis, Mohamad Shahfiq Mohd Sufian berkata ini adalah program keempat jualan murah itu di kawasan berkenaan pada tahun ini.

Mohamad Shahfiq Mohd Sufian. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sendiri yang meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) program JER diadakan lebih kerap di sini.

“Yang Berhormat juga amat berharap program ini dapat diteruskan atau diadakan lebih kerap kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat terutamanya golongan B40,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui di program JER peringkat DUN Sungai Kandis di perkarangan Masjid Al Bakri Kampung Bukit Naga di sini hari ini.

Pengunjung dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di tapak letak kereta Masjid Al Bakri Bukit Naga, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mohamad Shahfiq berkata sebanyak 500 ayam, 150 minyak masak, 300 papan telur, serta bungkusan beras, daging dan ikan, habis dalam tempoh dua jam.

“Jualan murah di Sungai Kandis sentiasa menerima sambutan menggalakkan. Penduduk di sini memang menunggu kehadiran program JER,” katanya.

Kakitangan PKPS menyusun barangan jualan Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di Masjid Al Bakri Bukit Naga, Shah Alam pada 7 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dengan menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sebelum ini, melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :