Orang ramai membeli barangan keperluan asas murah pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Kampung Nakhoda pada 7 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Beratur tiga jam berbaloi, dua beranak puas hati dapat beli barangan murah

Oleh SHAMZ JOHAN

SELAYANG, 7 FEB: Dua beranak yang berkunjung ke Jualan Ehsan Rakyat (JER) berpuas hati dapat membeli barangan keperluan dengan harga murah meskipun terpaksa beratur selama tiga jam.

Pelajar sekolah menengah, Nurul Ashikin Saiful, 18, dan ibunya mengambil kesempatan ke jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Jalan Nakhoda Kiri hari ini.

Nurul Ashikin Saiful

“Saya dengan ibu tiba jam 8 pagi, selepas tiga jam baru sampai giliran kami. Apapun kami berpuas hati dengan harga murah, dapat memenuhi keperluan kami sekeluarga,” katanya.

Hamizan Abd Hamid

Manakala Hamizan Abd Hamid, 57, memuji pengurusan program yang semakin baik dengan sistem nombor giliran yang membantu melicinkan jualan.

“Saya sudah menunggu (giliran) sejak jam 8.30 pagi, walaupun ramai, pengurusan makin baik, sistem nombor giliran membantu melicinkan jualan.

“Saya harap penambahbaikan dapat dibuat pada masa hadapan juga, mungkin dengan menambah petugas untuk mengawal barisan pengunjung yang beratur,” katanya.

Siti Salmiah Taslim

Bagi suri rumah, Siti Salmiah Taslim, 71, pula beliau berpuas hati dapat membeli telur dengan harga murah berbanding di pasaran.

“Alhamdulillah, inisiatif kerajaan jual barang murah sangat membantu golongan yang tidak berkemampuan,” katanya yang sudah lebih lima kali berkunjung ke program berkenaan.

“Kalau boleh tambah laluan khas untuk warga tua dan kurang upaya dan juga produk kegunaan harian seperti tepung, susu dan gula,” katanya lagi.

Irwan Sariman Abdul Hamid

Pada jualan di DUN berkenaan, ayam dan telur menjadi pilihan utama pengunjung yang beratur sejak jam 7 pagi untuk mendapatkan nombor giliran.

Pengurus Tapak Semaian, Bahagian Perladangan Tapak Semaian Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Sungai Tengi berkata kuantiti ayam ditambah kepada 500 ekor untuk JER 2.0.

“PKPS bekalkan 500 ekor ayam, sebelum ini hanya 300 ekor. Ayam dan telur menjadi pilihan utama, selalu habis cepat.

“Kita lihat, kebanyakan penduduk termasuk warga emas mula peka dengan hebahan jualan JER yang kita adakan,” kata Irwan Sariman Abdul Hamid.


Pengarang :