Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Negeri Dato’ Johary (tengah) ditemani Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali (kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Datuk Bandar, Pengarah Perancang Bandar, Ismail Muhamad pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2022 di Shah Alam Convention Centre Pada 17 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penjawat awam Selangor disaran utamakan rakyat, profesional

SHAH ALAM, 18 FEB: Penjawat awam di Selangor disaran memberi perkhidmatan yang mengutamakan rakyat, bersikap profesional dan berintegriti seiring dengan konsep Malaysia Madani.

Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Negeri Dato’ Johary Anuar berkata perkara itu perlu diterjemahkan dengan beberapa penambahbaikan sistem pengurusan, pembangunan dan proses kerja yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Semangat dan komitmen penjawat awam merupakan tonggak utama bagi menterjemahkan pelaksanaan dasar kerajaan dan negeri melalui penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

“Justeru, untuk ke arah itu empat teras utama yang perlu ditumpukan adalah membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, reformasi institusi demokrasi dan mewujudkan pentadbiran beramanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Bandaraya Subang Jaya 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam. Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali.

Terdahulu, Johary turut menyampaikan anugerah kepada 117 penerima APC termasuk meraikan 19 pesara yang berkhidmat lebih 25 tahun.

Pengiktirafan khas juga diberi menerusi tiga anugerah tambahan iaitu Anugerah Khas Datuk Bandar, Anugerah Khas Inovasi dan Anugerah Khas Sukan yang membawa nama MBSJ sehingga ke peringkat negeri, negara dan antarabangsa.


Pengarang :