BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Israk Mikraj unik, mufti sorot peristiwa penting

Israk Mikraj merupakan antara tanda kekuasaan Allah SWT yang diperlihatkan kepada hamba-Nya. Tanpa iman kukuh, kebenaran peristiwa itu sukar diterima seperti yang berlaku kepada penduduk Makkah pada zaman Rasulullah SAW.

Justeru, peristiwa yang mengandungi seribu satu hikmah dan mukjizat ini amat besar nilainya di sisi orang-orang muslim dan ia kekal terpahat dalam lipatan sejarah Islam.

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir berkongsi jawapan terhadap persoalan mengenai peristiwa agung itu yang lazim berlegar dalam kalangan umat Islam ketika wawancara bersama wartawan NADIAH ZAMLUS pada 7 Februari

Boleh Dato’ jelaskan apa itu Israk dan Mikraj secara ringkas?

Israk bermaksud peristiwa Rasulullah SAW diperjalankan oleh Allah SWT pada malam hari dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis yang terletak di Palestin. Sementara Mikraj pula adalah peristiwa Rasulullah dinaikkan ke langit sehingga sampai suatu tempat yang dinamakan sidratul muntaha untuk bermunajat kepada Allah

Tadi Dato’ ada sebutkan mengenai Baitulmaqdis. Difahamkan tempat itu mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam kerana menjadi destinasi penting ketika Israk Mikraj, boleh Dato’ jelaskan sejauh mana keistimewaan itu?

Baitulmaqdis adalah tempat yang diberkati Allah seperti yang tercatat di awal surah al-Isra’ “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin yang kami berkati sekelilingnya….”. Bumi Baitulmaqdis juga diberkati kerana di sana telah diutus nabi-nabi terdahulu dalam kalangan Bani Israel

Ada beberapa peristiwa berlaku sepanjang perjalanan Rasulullah itu. Salah satunya adalah benarkah ketika itu Rasulullah melalui sebuah kubur dan dikatakan kubur berkenaan wangi.Kubur siapakah itu? Boleh Dato’ jelaskan?

Melalui riwayat Ibnu Abbas RA, ketika Rasulullah diisrakkan, Baginda telah melalui suatu kawasan yang berbau harum. Lalu Rasulullah bertanya kepada malaikat Jibril. Jibril menjawab haruman tersebut datangnya daripada kubur Masyitah. Masyitah adalah seorang wanita. Dia tukang sikat anak Firaun yang telah menyebut ‘Binasalah Firaun’ ketika sikat tiba-tiba terjatuh.

Apabila berita tersebut sampai kepada pengetahuan Firaun, Masyitah, suaminya dan kedua anaknya dibunuh. Cara mereka dibunuh dengan dijatuhkan ke dalam kawah yang berisi air menggelegak disebabkan tidak mengakui Firaun adalah tuhan sebaliknya mengesakan Allah.

Perincian kisah ini ada diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tabarani, Ibnu Hibban dan Hakim

Dalam perjalanan itu juga, Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin Ifrit dan menyaksikan peristiwa simbolik yang amat ajaib. Boleh Dato’ terangkan?

Yahya bin Sa’id RA berkata, ketika Rasulullah diisrakkan, Baginda melihat ‘Ifrit daripada golongan jin mengikutnya dengan membawa sebuah obor api. Lalu Jibril telah mengajarkan kepada Baginda satu doa untuk mengelak gangguan tersebut seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik. Doa itu bermaksud:

Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

‘Aku berlindung dengan wajah Allah, Yang Maha Mulia, dan dengan kalimat-Nya yang sempurna, yang tidak didahului oleh orang baik mahupun pendosa, daripada kejahatan yang turun dari langit mahupun kejahatan yang naik ke arahnya, dan kejahatan yang tertanam di dalam bumi dan yang keluar darinya, dari fitnah malam dan siang, dan dari bencana malam mahupun siang, kecuali bencana yang mendatangkan kebaikan, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih’

Hikmah disebalik peristiwa ini adalah setiap perjalanan untuk mencapai reda Allah SWT tidak akan sunyi daripada diganggu oleh bisikan dan gangguan syaitan daripada kalangan jin dan manusia dan kita hendaklah sentiasa memohon pertolongan Allah

Bagaimana pula tentang buraq iaitu binatang yang ditunggangi Nabi ketika peristiwa itu? Ada yang cuba melukis bagaimana buraq itu dan sebagainya, apa pandangan Dato’?

Buraq adalah binatang dari syurga yang berwarna putih. Lebih besar saiznya daripada keldai dan lebih kecil daripada baghal. Gambaran atau lukisan Buraq hanyalah imaginasi pelukis yang tidak dapat dipastikan kesahihannya

Pernahkah ada hadis palsu dan cerita rekaan berkenaan Israk Mikraj? Pernah atau tidak pihak Dato’ mendapat laporan mengenai penceramah bebas yang menokok tambah bila beri kuliah mengenai Israk Mikraj?

Pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor belum pernah menerima laporan mengenai penceramah bebas yang menokok tambah ketika menyampaikan kuliah mengenai Israk Mikraj

Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Allah telah menurunkan hadiah terbesar kepada umat Islam iaitu solat lima waktu sehari semalam, bagaimana proses itu terjadi?

Ketika Rasulullah bermunajat kepada Allah SWT di sidratul muntaha, Allah telah mewajibkan solat fardu yang pada asalnya berjumlah 50 waktu sehari semalam. Namun, kewajipan tersebut akhirnya menjadi lima waktu setelah Rasulullah meminta ia dikurangkan

Apakah amalan khusus yang patut kita lakukan bagi memperingati peristiwa Israk Mikraj ini?

Tiada amalan yang khusus untuk diamalkan pada malam peristiwa Israk Mikraj. Apa yang ada, adalah dalil umum berkaitan galakan memperbanyakkan amal ibadah

Boleh Dato’ cadangkan kitab atau buku tulisan ulama yang boleh kita rujuk untuk lebih memahami peristiwa Israk Mikraj

Antara rujukan yang paling utama dalam memahami peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah buku berjudul Fiqh Sirah karangan Syekh Sa’id Ramadhan al-Buti, Ar-Rahiq Al- Makhtum karangan Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri dan buku berjudul al-Anwar al-Bahiyyah Fi ‘an Isra’ Wal Mikraj Khairul Bariyyah karangan Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki


Pengarang :