AGENSISELANGOR

Permohonan bantuan yuran pengajian IPTA, IPTS pelajar India B40 dibuka hari ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Permohonan bantuan yuran pengajian institut pengajian tinggi awam dan swasta bagi pelajar komuniti India B40 dibuka mulai hari ini hingga 24 Februari.

Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menerusi hebahan poster jawatankuasa tetap kerajaan prihatin negeri Selangor memaklumkan bantuan itu menawarkan pembayaran yuran maksimum sehingga RM5,000 bagi ijazah sarjana muda dan diploma (maksimum sehingga RM3,000).

“Permohonan terbuka kepada rakyat Selangor berketurunan India, lahir atau telah bermastautin sekurang-kurangnya 15 tahun di Selangor.

“Pemohon mestilah dalam tempoh pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari seluruh Malaysia yang diiktiraf kerajaan,” katanya di Facebook.

Katanya syarat kelayakan lain termasuk pendapatan isi rumah tidak lebih daripada RM2,000 sebulan dan ke bawah.

“Kaedah pembayaran adalah pemberian secara sekali bayar melalui cek atau pemindahan ke akaun (EFT) atas nama Bendahari IPTA/IPTS,” katanya.

Borang permohonan boleh didapati di pejabat EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Untuk maklumat lanjut hubungi 03-5544 7307/7305, 017-348 4172 atau emel [email protected].


Pengarang :