Suasana sekitar Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan Dewan Jaya Setia Kampung Jaya Setia pada 8 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Trak bawa barangan asas jadi tumpuan penduduk dalam program jualan murah

KUALA SELANGOR, 8 FEB: Trak Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang membawa pelbagai barangan keperluan asas menjadi tumpuan lebih 300 penduduk Kampung Jaya Setia, Ijok di sini hari ini.

Pegawai Khas kepada wakil rakyat Ijok, Azli Hussin berkata penduduk sanggup datang seawal jam 7.30 pagi untuk beratur mendapatkan nombor giliran terawal.

Azli Hussin. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Rata-rata mereka memang menunggu kehadiran program ini. Mereka tahu, barangan keperluan asas di sini murah dan berkualiti.

“Saya berharap JER dapat diteruskan sampai bila-bila dan menjadi program wajib Kerajaan Negeri kerana ia memberi banyak manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, beliau mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad meninjau proses jualan murah tersebut di Dewan Jaya Setia, di sini hari ini.

Azli berkata Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperuntukkan 500 ayam, 300 unit bagi ikan, daging, telur, dan beras, serta 150 botol 5kg minyak pada jualan kali ini.

Penduduk mencatat barangan asas yang hendak dibeli di Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan Dewan Jaya Setia Kampung Jaya Setia pada 8 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD

Bagaimanapun katanya, beliau berharap PKPS dapat menambah lagi kuantiti barangan keperluan tersebut kerana ia terpaksa dihadkan kepada pembeli.

“Ada yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, jadi mereka terpaksa membeli banyak. Tetapi pembelian dihadkan. Saya harap PKPS dapat sediakan lebih banyak barangan selepas ini,” katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dengan menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN sebelum ini.


Pengarang :