OLEH FUAD HADINATA YAACOB
SHAH ALAM, 28 FEB: Perubahan dasar atau undang-undang sedia ada perlu melalui proses tertentu termasuk mengambil kira hasil sesi libat urus semua pihak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan boleh dibuat selepas mengambil kira banyak perkara sama ada ditambah baik atau dikaji semula.
“Perubahan berkaitan dasar dan undang-undang kerajaan sama ada ditambah baik, dikaji semula atau dimansuh perlu melalui proses biasa dan keputusan hanya boleh dibuat selepas sesi libat urus semua pihak,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah berhubung hasrat memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) di Parlimen hari ini.
Menjawab soalan berhubung butiran khusus reformasi Parlimen, Fadillah berkata kerajaan perpaduan memandang serius agenda tersebut dan akan mengambil tindakan bagi merealisasikannya.
Reformasi itu antaranya mewujudkan semula perkhidmatan parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa antara Badan Legislatif dan Badan Eksekutif dan meneliti untuk meminda Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).