Penerima bantuan waris mangsa tragedi tanah runtuh, Siti Esah Hassan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ramadan pilu ibu mangsa tragedi tanah runtuh tanpa anak sulung

HULU SELANGOR, 19 FEB: Ramadan tahun ini suram buat Siti Esah Hassan, 54, tanpa anak sulung di sisi yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali pertengahan Disember lalu.

Lebih memilukan, kenangan memasak dan membeli juadah berbuka di bazar bersama Nurul Azwani Kamaruzaman, 31 yang menggemari ayam percik, kari ayam dan bubur nasi akan menjadi momen paling dirindui.

Ibu tiga anak itu berkata saban tahun menjelang waktu berbuka, arwah antara individu paling bersemangat mengurus persiapan juadah untuk sajian berbuka mereka sekeluarga.

“Selepas dua bulan pemergiannya, perasaan rindu masih ada hingga ke saat ini, apatah lagi Ramadan bakal menjelma tiba dan ketiadaannya pasti lebih terasa.

“Memang arwah antara orang yang paling sibuk mahu pergi bazar dan masak. Pendek kata semuanya dia yang uruskan kalau bulan puasa,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Esah antara 13 waris mangsa yang menerima wang ihsan berjumlah RM5,000 sumbangan Kerajaan Negeri sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali dekat sini hari ini.

Bercerita lanjut, Esah berkata bagi mengubat kerinduan terhadap arwah, dia akan mengunjungi pusara di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (KL-Karak), Taman Selasih seminggu sekali untuk membaca Yasin dan mendoakan kesejahteraan.

“Setiap kali bangun tidur, saya tidak boleh tengok biliknya sebab saya akan sedih. Biasanya kalau dia balik kerja dia duduk dalam bilik dan baharulah keluar berborak dengan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Esah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan tersebut dan merancang menggunakannya untuk menempah batu nisan selain mengadakan kenduri tahlil.

“Penjaga kubur di sana maklumkan selepas tiga bulan dikebumikan baharu tempahan batu nisan boleh dibuat, jadi saya akan guna bantuan ini untuk kegunaan itu.

“Saya amat menghargai sumbangan ikhlas yang diberikan kepada waris mangsa tragedi berkenaan,” katanya lagi.


Pengarang :