Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Hospital Sultan Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru lebih banyak kemudahan kesihatan disedia bantu rakyat dapat rawatan

PETALING, 28 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah langkah itu dapat mengurangkan beban rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital awam.

“Dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik cepat dan berkesan, pihak hospital akan menggunakan peralatan perubatan canggih dan berteknologi tinggi serta ubat terbaik yang melibatkan kos tinggi.

“Ini akan memberi kesan kepada golongan rakyat yang kurang berkemampuan. Beta berharap golongan ini tidak sama sekali dilupakan. Titik keseimbangan perlu dibangunkan agar kemajuan pesat bidang perubatan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap KPT mahupun KKM bekerjasama erat sebagai satu pasukan yang kukuh untuk mengurangkan masalah dihadapi rakyat.

“Beta percaya penglibatan sektor swasta, badan bukan kerajaan atau individu secara aktif akan turut membantu memastikan perkhidmatan kesihatan ini dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat,” titahnya.

Bagida bertitah ketika menyempurnakan penjenamaan semula Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS).Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

HSAAS yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Pengajar UPM mula dibina sekitar 2014 meliputi kawasan berkeluasan 95 hektar dan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun sebelum diserahkan kepada universiti secara rasmi 15 Mei 2019 bagi memulakan operasi sulungnya.

Institusi kesihatan itu kini mempunyai kapasiti keseluruhan 400 katil dengan menelan kos pembinaan RM600 juta. Operasi pertama telah dibuka melalui perkhidmatan Klinik Perubatan Keluarga pada Oktober 2019.


Pengarang :