Sukarelawan Yayasan ROSE menunjukkan kit ujian PCR HPV ketika program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saringan HPV dicadang masuk dalam skim PeKa B40

SHAH ALAM, 28 FEB: Ahli parlimen Puchong mencadangkan kerajaan memasukkan saringan virus papilloma manusia (HPV) ke dalam Skim Peduli Kesihatan untuk B40 (PeKa B40).

Yeo Bee Yin berkata barah pangkal rahim menduduki tempat keempat paling kerap dalam kalangan wanita di Malaysia dan tempat kedua barah paling kerap dalam kalangan wanita berumur 15 hingga 44 tahun.

“Saringan HPV boleh mengurangkan insiden kanser serviks dengan ketara. Oleh itu dicadangkan kerajaan memasukkannya dalam skim PeKa B40 memandangkan sekarang kerajaan sedia memasukkan saringan penyakit kencing manis,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan memulakan semula program imunisasi yang tergendala susulan pandemik Covid-19.

“Program vaksinasi HPV telah diperkenalkan di Malaysia sejak 2010 untuk pelajar perempuan berumur 13 tahun dan ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada ibu bapa dan pelajar dengan lebih daripada 90 peratus mengambil suntikan vaksin apabila diberi.

“Bagaimanapun pandemik Covid-19 telah menyebabkan sekolah ditutup serta pengalihan peruntukan kerajaan kepada program vaksinasi Covid-19.

“Menurut statistik Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia lebih daripada 500,000 kanak-kanak perempuan telah terlepas suntikan vaksin HPV atau mendapat suntikan yang tidak lengkap dan kesan situasi ini akan menyebabkan peningkatan kes kanser serviks dan penyakit berkaitan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu, kerajaan menyediakan RM80 juta bagi memperkasa PeKa B40 yang merangkumi saringan penyakit kencing manis.


Pengarang :