Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin membantu warga emas menggunakan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 ketika melancarkan mesin tersebut di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

100 penduduk B40 Bandar Utama terima bantuan makanan dengan mesin layan diri

OLEH DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 27 MAC: Seramai 100 penduduk berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama bakal menerima manfaat bantuan makanan menerusi mesin layan diri (vending machine).

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata menerusi projek perintis itu golongan sasar akan menerima bantuan bulanan berjumlah RM100 yang akan dikreditkan dalam akaun e-dompet mereka.

“Selepas penerima dikenal pasti kita aktifkan akaun e-dompet dan bantuan berjumlah RM100 dikreditkan ke dalam akaun dan kod pin dihantar menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon mereka.

“Penerima boleh menggunakan wang itu untuk mendapatkan barangan di mesin layan diri pada bila-bila masa dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh luput.

“Kredit yang tidak digunakan akan disalurkan dalam akaun e-dompet kumpulan penerima berikutnya jadi tidak berlaku pembaziran kerana bantuan itu tidak tersekat dalam akaun penerima,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas melancarkan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jamaliah bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran mesin layan diri bantuan makanan bagi golongan B40 di Pangsapuri Kayu Ara, Bandar Utama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek dilaksana dengan kerjasama Allegra itu menyediakan 19 produk makanan antaranya minyak masak, sardin tin, serbuk kari, cili kering dan minuman.

“Kita turut sediakan 45 produk penjagaan diri dan ubat-ubatan seperti ubat batuk, ubat gigi, sabun mandi dan tuala wanita dalam dua mesin layan diri ditempatkan di sini.

“Kita harap projek ini berjaya membantu golongan sasar menerusi konsep baharu saluran bantuan dengan memudahkan penerima untuk dapatkan barang keperluan pada bila-bila masa kerana mesin layan diri ini beroperasi 24 jam sehari,” katanya.


Pengarang :