EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabathirau berucap sempena pembukaan mesyuarat Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Ke-14 di Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Belanja hampir RM30,000 untuk khidmat guaman percuma, selesai 15 kes

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak RM29,820 daripada RM1 juta peruntukan bagi program Dana Bantuan Guaman Selangor (DBGS) dibelanja dalam tempoh enam bulan sejak September hingga 6 Mac lalu.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata dana disalur kepada Jawatankuasa Peguam Selangor bagi perkhidmatan guaman secara percuma itu menyelesaikan 15 daripada 19 kes yang diadukan sepanjang tempoh berkenaan.

“Jawatankuasa ini menerima 12 permohonan kes kekeluargaan. Lima daripadanya dalam proses mahkamah manakala selebihnya di peringkat awal sebelum prosiding mahkamah.

“Selain itu, tiga lagi adalah kes pekerjaan iaitu satu dalam proses mahkamah dan dua di peringkat awal sebelum prosiding mahkamah,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin, Ganabatirau memaklumkan empat permohonan ditolak dengan tiga daripadanya bukan dalam kategori program DBGS.

Katanya, baki permohonan ditolak berikutan tidak membuat aduan berkaitan pemecatan secara tidak adil di Mahkamah Perusahaan dalam tempoh 60 hari selepas penamatan kerjanya.

Selangor muncul negeri pertama menyediakan bantuan guaman percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Skim bagi menyelesaikan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam bagi memastikan masyarakat tidak ditindas dan terpinggir.


Pengarang :