EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim membantu membungkus barangan asas yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam pada 19 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah berakhir Mei, negeri cari kaedah baharu bantu rakyat

SABAK BERNAM, 20 MAC: Kerajaan Selangor akan mencari mekanisme baharu bagi membantu rakyat mendepani cabaran semasa kenaikan harga barang.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kaedah itu bagi mengganti Jelajah Ehsan Rakyat (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan berakhir Aidilfitri ini.

“Program Intervensi JER tidak boleh berpanjangan, tetapi subsidi dalam keadaan tertentu memang kena ada kalau tidak akan jadi sukar (untuk rakyat).

“Jangka pendek kita boleh bagi subsidi tetapi jangka panjang kena ada kaedah yang lebih mampan, misalnya bagaimana mahu turunkan harga ayam.

“Saya selalu sebut dengan menteri (pertanian) bahawa kita kena cari jalan untuk turunkan harga makanan ayam supaya harga ayam juga turun,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Sabak Bernam di Bagan Terap, Sungai Besar di sini semalam.

Beliau menambah selain PKPS, pihaknya juga berhasrat menjalin kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) bagi menawarkan pakej makanan mirip Menu Rahmah.

“Kita akan tengok bagaimana mahu pakejkan dengan Menu Rahmah. Kita hendak jenamakan satu jenama dan pakej sesuai yang boleh bantu rakyat tetapi lebih mampan,” katanya.

Sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember lepas, JER berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah itu diperluas ke 1,200 lokasi sejak 16 Januari hingga menjelang Mei.

Jualan murah tersebut menawarkan ayam standar RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) serta beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :