Nur Erynna Qaleesya Mohd Saiful Nizam, 9, bersama adiknya Muhamad Fayyadh Qazriel Mohd Saiful Nizam, 7, tekun belajar menerusi modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada hari pertama sesi persekolahan 2023 pada 19 Mac 2023 di hadapan rumah mereka di Parit Karjo, Batu Pahat yang masih ditenggelami banjir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Situasi bah di Batu Pahat semakin pulih, 10,396 mangsa masih di PPS

JOHOR BAHRU, 20 MAC: Situasi banjir di Batu Pahat menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun, setakat 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negari (JPBN) memaklumkan seramai 10,396 orang masih ditempatkan di 51 PPS, berbanding 13,872 orang di 59 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Menurut JPBN, tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi adalah Sekolah Kebangsaan Seri Aman (552), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Li Chun (522) dan SJKC Tongkang (478).

Tiga sungai masih berada pada tahap amaran iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok (19.06 meter), Empangan Sembrong di Sungai Sembrong (11.17m) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.30m).

Bagaimanapun, cuaca diramalkan cerah di kesemua 10 daerah pada pagi ini. – BERNAMA


Pengarang :