Mangsa banjir mengendong anak selepas keluar dari Kampung Parit Warijo, Sri Medan, yang dinaiki air sejak malam tadi ketika tinjauan di Batu Pahat pada 4 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 300 mangsa banjir dipindahkan kali kedua, PPS diduduki dinaiki air

BATU PAHAT, 4 MAC: Lebih 300 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sejati dekat Kampung Parit Warijo, Sri Medan di sini, terpaksa dipindahkan selepas PPS berkenaan turut dinaiki air, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata sehubungan itu, pemindahan semua mangsa banjir di PPS tersebut serta sebahagian penduduk yang masih berada di kampung berkenaan akan dibuat secara berperingkat oleh agensi terlibat ke PPS yang akan dikenal pasti.

“PPS SK Seri Sejati telah dinaiki air. Kita dalam proses memindahkan lebih 300 orang di PPS itu ke PPS baru.

“PPS itu dinaiki air sehingga satu meter sejak awal pagi tadi. Selain mangsa dalam PPS itu, ada juga lebih 15 keluarga yang dikenal pasti masih berada dalam kediaman mereka dalam gugusan Kampung Parit Warijo,” katanya ketika meninjau operasi menyelamat di Kampung Parit Warijo dekat Sri Medan hari ini.

Ismail berkata seramai 241 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat ditugaskan untuk memindahkan mangsa terbabit dengan menggunakan pelbagai aset sedia ada termasuk 17 bot, lori Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), lori ATM, lori tanah dari Pejabat Tanah dan sebagainya.

“Selain PDRM, misi tersebut turut melibatkan anggota penyelamat daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Penduduk Kampung Parit Warijo memindahkan barangan penting dengan menggunakan perahu, susulan kampung itu dinaiki air malam tadi ketika tinjauan di Batu Pahat pada 4 Mac 2023. Foto BERNAMA

Menurut Ismail, pihaknya juga akan menggerakkan dua jet ski bagi tujuan membuat pemantauan rumah ke rumah yang terjejas banjir.

Beliau bagaimanapun kecewa kerana masih ada segelintir penduduk enggan berpindah kerana sayang mahu meninggalkan kediaman mereka sehingga menyukarkan kerja penyelamat.

“Semalam kita ada buat tinjauan di Parit Warijo dan Parit Masri, kita cuba keluarkan mereka tetapi ada sebahagian kecil penduduk tidak mahu berpindah.

“Sekiranya pihak polis atau agensi penyelamat lain minta berpindah, sila berpindah, saat akhir hendak pindahkan mangsa banjir di PPS, ada orang tua, anak kecil dan wanita yang tunggu hari bersalin juga perlu dipindahkan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan menyelamat melibatkan 15 keluarga tetapi percaya jumlah mungkin lebih daripada itu kerana masih ada kampung lain dalam gugusan kampung tersebut seperti Kampung Jayus 1 hingga 9, Kampung Basri Darat, Kampung Singgahan dan banyak lagi.

Terdahulu, tinjauan di hadapan pintu masuk Kampung Parit Warijo itu menyaksikan banyak bot serta lori dan traktor digunakan pihak berkuasa dan orang persendirian membawa keluar penduduk dan haiwan ternakan.

Dipercayai terdapat lebih 20 gugusan kampung di dalam Kampung Parit Warijo.

– BERNAMA


Pengarang :