Beberapa rumah penduduk ditenggelami air selepas banjir melanda beberapa kampung di Jalan Kuala Paya- Balai Badang di Segamat ketika tinjauan pada 4 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

40,854 mangsa banjir enam negeri, Selangor catat penurunan 103 mangsa di dua PPS

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Mangsa banjir di beberapa negeri terus meningkat petang ini dengan lebih 40,854 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan 2,388 orang ditempatkan di 21 PPS berbanding 2,317 orang pagi tadi.

Rompin terus merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 1,912 orang manakala Temerloh (302 orang), Pekan (106 orang), Jerantut (10 orang) selain Maran dan Bera masing-masing 29 orang.

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 380 orang namun keluarga terlibat kekal 97 keluarga pada 2 petang ini berbanding 379 orang pagi tadi.

Menurut Sekretariat JPBN Melaka, semua mangsa terjejas ditempatkan di enam PPS di negeri itu dengan lima daripadanya di daerah Jasin dan satu di Alor Gajah.

“Sebanyak 365 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di lima PPS di Jasin manakala 15 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di satu PPS di Alor Gajah,” katanya.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit penurunan kepada 103 mangsa daripada 25 keluarga setakat ini berbanding 107 mangsa daripada 24 keluarga pagi tadi.

JPBN, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor melaporkan dua PPS masih dibuka iaitu SK Merbau Sempak, Sungai Buloh dan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor.

Sementara itu, di Johor, mangsa banjir menurun sedikit kepada 37,258 orang berbanding 37,322 orang pada pagi tadi.

Bagaimanapun, JPBN Johor memaklumkan terdapat pertambahan dua PPS menjadikan 240 PPS beroperasi di sembilan daerah setakat ini.

Menurut JPBN, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 12,900 orang daripada 3,783 keluarga diikuti Batu Pahat 7,830 orang daripada 2,294 keluarga; Kluang dengan 5,285 mangsa (1,533 keluarga); Kota Tinggi seramai 3,283 orang (879 keluarga); Muar dengan 3,278 orang (952 keluarga); dan Tangkak 2,661 orang (754 keluarga).

“Turut terjejas di Johor Bahru dengan 699 orang daripada 226 keluarga; Mersing 964 orang (280 keluarga) dan Pontian 358 orang (91 keluarga),” katanya.

Di Negeri Sembilan, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 711 mangsa daripada 191 keluarga setakat 12 tengah hari berbanding 783 mangsa pagi tadi.

Ia membabitkan empat PPS di Tampin dengan PPS Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelamah merekodkan jumlah tertinggi 514 mangsa manakala semua PPS di Jempol ditutup sepenuhnya.

Sementara itu,di Sarawak jumlah mangsa banjir masih kekal 14 orang daripada lima keluarga dan ditempatkan di PPS Komplek Sukan Julau.

– BERNAMA


Pengarang :